Menopause: Hanya 20% wanita dapatkan nasihat

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Hanya 20 peratus daripada 2.3 juta wanita Malaysia mendapatkan nasihat penjagaan kesihatan profesional tentang cara mengendali simptom menopause (putus haid) tahun lepas.

Presiden Persatuan Menopause Malaysia (MMS), Dr Liew Fah Onn berkata, ini bererti seramai 60 peratus wanita Malaysia mungkin mengalami ”derita dalam senyap” sedangkan kualiti kehidupan mereka boleh dipertingkatkan menerusi bantuan sewajarnya daripada profesional berkenaan.

“Usia purata mengalami menopause ialah antara 50 hingga 51 tahun dan wanita dijangka hidup selama 25 tahun seterusnya selepas mereka mengalami menopause, yang bererti satu pertiga dari seluruh kehidupan mereka pada tempoh perimenopause dan pasca-menopause.

“Oleh itu adalah amat penting untuk menentukan semua wanita dapat menjalani kehidupan pada tahun-tahun keemasan dalam keadaan kesihatan dan keselesaan yang optimum,” katanya pada sidang akhbar sempena sambuatan Hari Menopuase Sedunia tahunan di sini hari ini.

Dr Fahh Onn berkata, konsultasi harus memberi fokus kepada hal-hal asasi rawatan menopause dalam kualiti kehidupan yang tinggi sejajar dengan keperluan individu wanita.

“Tinjauan menunjukkan bahawa lebih separuh dari wanita tidak mengetahui bahawa menopause berkait rapat dengan risiko sakit jantung, sedangkan penyakit kardiovaskular terutama sakit jantung dan strok merupakan penyebab utama kematian di Malaysia,” kata beliau. – Bernama

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_20.htm#ixzz4rRj2hAMn